SUKAN

KL City perlu lebih masa untuk capai keserasian - Hodak

05/02/2023 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC Bojan Hodak merasakan pasukannya memerlukan lebih masa untuk mencapai keserasian, walaupun memenangi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 malam tadi.

Hodak berkata KL City, yang dibarisi beberapa muka baharu memerlukan lebih banyak perlawanan untuk ke tahap itu bagi menghadapi cabaran getir pada saingan Liga Super yang akan membuka tirai pada hujung Februari.

“Untuk semua pihak, mereka memerlukan perlawanan untuk mendapat keserasian, seperti di pejabat jika anda bekerja di satu pejabat (selama) 10 tahun, anda akan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, jika anda bekerja satu atau dua bulan anda tidak akan memahaminya, perkara ini sama seperti dalam bola sepak.

“Kami berada pada tahap 60 peratus (persediaan), jadi saya 60 peratus gembira,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Pada pertembungan malam tadi, KL City menjulang Piala Menteri Wilayah Persekutuan buat kali kedua selepas menewaskan Perak FC 3-0.

Kemenangan itu menebus kekalahan mereka kepada Negeri Sembilan tahun lepas, setelah menjuarai edisi sulung pada 2021.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Hodak berkata keputusan itu dilihat baik buat pasukannya kerana gawangnya tidak bolos, namun beliau mengakui terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya pada perlawanan akan datang.

“Saya rasa bahagian tengah kita tidak cukup ketat dan kita perlu mengubahnya, serangan, penyudah dan hantaran akhir boleh menjadi lebih baik,” katanya.

Kemenangan malam tadi bagaimanapun memberikan KL City kemenangan pertama dalam tempoh pramusim selepas mencatat keputusan seri menentang Terengganu FC dan Kelantan United FC bulan lepas.

KL City akan memulakan kempen Liga Super bertemu Penang FC di sini pada 25 Feb nanti.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan