KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempergiat usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri.
MPC dalam kenyataan hari ini berkata fokus MoU itu adalah berdasarkan teras Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) iaitu bakat, teknologi, peraturan dan minda produktif.
MoU berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abu Seman manakala UCYP diwakili Naib Canselor Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.
Menurut Abdul Latif, kolaborasi berkenaan tertumpu kepada usaha meningkatkan produktiviti dalam sektor perladangan dan pelancongan, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri di enam daerah iaitu Bera, Jerantut, Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis.
Beliau berkata objektif utama kerjasama itu adalah meningkatkan pelaburan dan pembangunan ekonomi termasuk pembangunan modal insan untuk masyarakat tempatan dan orang asli.
“Antara cadangan program yang telah dikenal pasti adalah Academy in Plantation yang menyasarkan penglibatan remaja tercicir pembelajaran arus perdana untuk diserap ke akademi perladangan terutamanya di kawasan Pahang Barat Plus,” katanya.
Selain itu, MPC melalui Nexus Pelancongan akan menjalankan uji kaji peraturan bagi subsektor pelancongan untuk mengenal pasti potensi tempat pelancongan yang boleh diketengahkan.
“Usahasama di antara pihak MPC melalui Nexus Pelancongan dan UCYP akan dapat merancakkan lagi aktiviti mempromosi tempat-tempat menarik dan unik bagi meningkatkan lagi ekopelancongan yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi negeri Pahang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial