JENAYAH & MAHKAMAH

PENAMATAN PROJEK HSR: DUA BEKAS PM, TIGA LAGI DIARAH FAIL PERNYATAAN PEMBELAAN

02/02/2023 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga lagi memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman berhubung penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) selewat-lewatnya 28 Feb ini.

Selain Dr Mahathir dan Muhyiddin, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan.

Peguam Mohaji Selamat, mewakili  plaintif Mohd Hatta Sanuri, 47, berkata mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 28 Mac.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Mac ini," katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara dalam talian hari ini.

Tindakan saman itu difailkan Mohd Hatta pada 30 Dis tahun lepas, mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh kesemua defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Hatta selaku plaintif mendakwa Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa, yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Selain itu, Mohd Hatta mendakwa Wee juga cuai semasa menguruskan projek tersebut yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24 kepada rakyat Malaysia sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan