BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

Program pembangunan luar bandar harus relevan, tidak bertindih - Ahmad Zahid

01/02/2023 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kerajaan perlu meneliti keberkesanan semua program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan ketika ini bagi memastikan ia relevan dan menepati keperluan kumpulan sasar kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini kerana populasi penduduk di kawasan luar bandar kini telah berubah daripada 70 peratus penduduk pada sekitar 1960-an, kepada 30 peratus penduduk ketika ini. 

“Ertinya berlaku social vertical mobility dan horizontal mobility, yakni berlaku perpindahan, urbanisasi, status sosial mereka telah berpindah melalui pendidikan, dan adakah agenda kementerian ini harus statik atau jumud dalam perkara sama. 

“Jadi mereka yang berada di subbandar harus didepani, mereka berada dalam kawasan pendesaan harus ditekuni sebab mereka perlu (infrastruktur) komunikasi, infrastruktur, TVET, pendidikan… kita harus merelevankan semua program mengikut cita rasa kumpulan sasaran, bukan mengikut cita rasa menteri kerana menteri datang dan pergi,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Ahmad Zahid turut menyentuh kepentingan koordinasi dalam pelbagai kementerian yang melaksanakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mengelak pertindihan serta memastikan keberkesanan kos.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan TVET berkata kini terdapat 11 kementerian yang melaksanakan program TVET dengan matlamat yang sama sehingga berlaku pertindihan program yang ditawarkan.  

“Adakah ini cost effective? Cukuplah zaman kita menyalahkan kementerian dan menteri sebelum ini, kita harus bergerak ke hadapan melibatkan bukan hanya TVET tetapi latihan lain, bagaimana struktur sosial dan sosial illness pemuda harus diatasi. 

“Ini menjadi agenda saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sosial sebab saya cakap bukan hanya sekadar (berkaitan) sebuah kementerian, saya melihat keseluruhannya, dari segi jamaknya sebuah komuniti, sebuah negara Madani yang harus berpaksikan ketamadunan baharu,” katanya. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan