AM

Pusat Perubatan Sunway galakkan pendidikan berterusan saringan serviks

31/01/2023 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pendidikan berterusan mengenai kepentingan pemeriksaan serviks dan ketersediaan kit ujian kendiri akan membantu mengatasi keraguan dan rasa malu bagi wanita untuk datang menjalani ujian pap smear.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Syeda Nureena Zaidi berkata pada masa ini terdapat peningkatan penerimaan kit ujian kendiri di Malaysia.

“Ini dibuktikan melalui kajian Malaysia baru-baru ini yang mendapati lebih 80 peratus peserta menganggap kaedah pensampelan kendiri sebagai mudah, sesuai, tidak memalukan dan mereka yakin melakukan ujian itu,” katanya.

Dr Syeda Nureena berkata kit ujian kendiri yang menguji virus papiloma manusia (HPV) adalah berkesan seperti ujian pap smear konvensional dan ujian HPV pensampelan doktor dengan kelebihan ia boleh dilakukan sendiri oleh setiap wanita.

Beliau menjelaskan program imunisasi HPV berasaskan sekolah kebangsaan menyasarkan pelajar perempuan berusia 13 tahun kerana vaksin itu paling berkesan jika diberikan sebelum pendedahan HPV.

“Bagaimanapun ia masih memberikan manfaat selepas pendedahan HPV dan boleh diambil sehingga berusia 45 tahun,” katanya.

Beliau juga menyatakan wanita yang sudah berkahwin juga masih boleh mendapat manfaat perlindungan terhadap beberapa jenis HPV dengan mengambil vaksin untuk mengurangkan risiko kanser serviks.

Dr Syeda Nureena menambah pembangunan inisiatif seperti program ROSE, program pemeriksaan serviks berasaskan HPV utama yang mengintegrasikan persampelan kendiri dan teknologi digital, yang menganjurkan kempen kesihatan komuniti di kawasan luar bandar, merupakan langkah terbaik  ke arah meningkatkan akses di kawasan berkenaan.

Di Malaysia, kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi wanita di negara ini, menyumbang 6.2 peratus daripada kes kanser baharu dari 2011 hingga 2016 selepas kanser payudara (34.1 peratus) dan kanser kolorektral (11.1 peratus).

Bagaimanapun, kanser serviks boleh dicegah.

Dr Syeda Nureena berkata ramai wanita tidak menjalani saringan berkala walaupun sumber tersedia disebabkan banyak sebab termasuk takut, malu, kesulitan dan kurang kesedaran.

“Masalah ini lebih banyak di kawasan luar bandar. Untuk mengatasinya, pendidikan yang menyasarkan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan pencegahan berbanding rawatan adalah penting,” katanya.

Beliau berkata risiko kanser serviks meningkat pada usia 35 tahun dan memuncak lingkungan 50 hingga 74 tahun, sambil menambah pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan kes kanser serviks termasuk kemunculan lebih banyak penyakit yang menyebabkan tindak balas imun yang lemah.

Menurut Dr Syeda Nureena ini seterusnya memberi kesan kepada kelangsungan jangkitan HPV yang berkait rapat dengan kanser serviks manakala pemeriksaan kanser serviks yang lemah juga memberi kesan kepada pengesanan dan rawatan lesi pra-kanser yang menyebabkan peningkatan jumlah kes kanser serviks, katanya.

“Wujud jurang yang besar dalam kes kanser serviks antara kawasan luar bandar dan bandar. Mereka yang berada di kawasan bandar mempunyai akses yang lebih baik kepada pemeriksaan dan rawatan yang mencukupi.

“Mereka yang berada di kawasan luar bandar mempunyai akses terhad kepada langkah pencegahan dan kanser serviks sering tidak dapat dikesan sehingga ia telah merebak dan gejala menjadi teruk,” katanya.

Dr Syeda Nureena seterusnya menjelaskan bahawa wanita boleh mengurangkan risiko kanser serviks melalui vaksinasi HPV dan saringan berkala dengan pap smear iaitu serviks diperiksa dan sampel dihantar untuk diperiksa sama ada terdapat sebarang sel kanser.

“Pap smear mampu mengesan sel pra-kanser (sel-sel yang tidak normal tetapi belum menjadi kanser) dan wanita boleh mendapatkan rawatan sendiri. Dengan cara ini sel-sel itu dikeluarkan sebelum ia mengakibatkan kanser,” katanya.

Beliau menasihatkan golongan wanita agar melakukan ujian pap smear tiga tahun sekali.

Katanya simptom kanser serviks yang paling biasa adalah pendarahan selepas persetubuhan manakala gejala lain termasuk pendarahan antara tempoh haid, pendarahan faraj selepas menopaus, keputihan berlumuran darah dan sakit pelvis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan