DUNIA

Indonesia harap SOP RTK 2.0 diperincikan segera

30/01/2023 11:21 PM

JAKARTA, Jan 30 (Bernama) -- Indonesia berharap Malaysia dapat segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang diumumkan pada Jan 10 lepas.

Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah berkata SOP mengenai RTK 2.0 akan menjadi rujukan kepada pendatang asing tanpa izin yang sudah lama bekerja di Malaysia.

“Kerajaan Indonesia juga masih memerlukan maklumat yang lebih terperinci dan jelas daripada Kerajaan Malaysia untuk pelaksanaan program itu,” katanya.

Ida Fauziah berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipejabatnya di sini, hari ini.

Kedua-dua menteri berbincang mengenai perkembangan serta mencari penyelesaian bagi masalah yang berkaitan dengan pelindungan tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, terutamanya pekhidmat domestik.

Perbincangan turut menjurus kepada hal terkait penjajaran dasar baharu Malaysia berhubung Pelan Penggajian Pekerja Asing, kata Saifuddin dalam Facebook rasminya.

Beliau berkata Indonesia adalah negara sumber kedua terbesar yang menyumbangkan TKI ke Malaysia selepas Bangladesh dan berperanan membantu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Malaysia.

“Saya menyatakan hasrat untuk memperbaharui komitmen Malaysia berhubung isu kebajikan dan keselamatan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia sentiasa dilindungi dan tiada kompromi terhadap sebarang salah laku majikan,” katanya.

Pertemuan kedua-dua menteri merupakan susulan hasil pertemuan antara Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan ini.

Dalam lawatan kerja singkat ke Indonesia, Saifuddin telah bertemu dengan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Prof. Dr. Yasonna H. Laoly serta Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan