EKONOMI

QUANTUM METAL SASAR LEBAR SAYAP KE 60 NEGARA

29/01/2023 03:01 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Syarikat pelaburan emas patuh syariah, Quantum Metal Sdn Bhd (Quantum Metal) menyasar untuk melebarkan sayap ke 60 buah negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengasasnya, Datuk Lim Khong Soon berkata ketika ini Quantum Metal telahpun bertapak di 13 buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.

"Pencapaian itu sekali gus menunjukkan bahawa syarikat kini berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi sasaran untuk melebarkan sayap ke 60 buah negara dalam tempoh dua tahun ini ke negara yang mempunyai ramai penduduk.

"Setakat ini sambutan di negara yang kami telah bertapak sangat baik sebab itu kita mahu terus melebar luas Quantum Metal," katanya kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Quantum Metal, di sini, malam tadi.

Menurutnya, ketika ini Quantum Metal mempunyai kira-kira 40,000 perunding dan lebih 400,000 ahli berdaftar di seluruh negara dengan antara 2,000 hingga 3,000 ahli baharu mendaftar dengan syarikat itu setiap hari.

Sementara itu, Lim berkata, Quantum Metal juga komited membantu seramai mungkin rakyat Malaysia untuk keluar daripada belenggu masalah kewangan di bawah penyelesaian pemulihan ekonomi terutamanya pada tahun ini berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Beliau berkata, syarikatnya juga mahu mendedahkan kepentingan atau nilai sebenar emas kepada masyarakat bahawa ia bukan sekadar untuk di­simpan sebagai pelaburan, tetapi boleh ditunaikan serta digunakan bagi perbelanjaan harian.

"Kami memperkenalkan inisiatif produk jual beli dan penyelesaian pemulihan ekonomi melalui emas yang patuh syariah malah pengenalan inisiatif tersebut sebagai satu usaha untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi semua pihak," katanya sambil menambah ia sekali gus akan memberikan ruang kepada lebih ramai masyarakat untuk mendapatkan emas serta pulangan daripada pelaburan tersebut.

Menurutnya, pelaburan dalam emas akan dapat memberi pilihan kepada individu, pemilik syarikat dan masyarakat secara amnya untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing di samping menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan