DUNIA

Maybank Research : Pembuatan Singapura dijangka terus catat penurunan pada separuh pertama 2023

28/01/2023 04:31 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 28 Jan (Bernama) -- Sektor pembuatan Singapura dijangka terus mencatatkan penurunan pada separuh pertama 2023, disokong terutamanya oleh elektronik, namun penurunan pembuatan dijangka tidak ketara, demikian menurut Maybank Research.

Menerusi laporan Economics Research yang dikeluarkan di sini, firma penyelidikan itu berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) turun kepada 48.6 pada Disember, paras terendah sejak sekatan pergerakan COVID-19 dilaksanakan pada Jun 2020.

“Pembukaan semula sempadan China akan membantu mengurangkan kesan kegawatan dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, dan mengurangkan kemungkinan kemelesetan.

"Kami berpandangan Singapura tidak dijangka terkesan daripada risiko kemelesetan AS pada 2023, sebahagiannya disebabkan oleh pembukaan semula China,” kata Maybank Research.

 Singapore Economic Development Board (EDB) pada 26 Jan mengumumkan output pembuatan negara itu merosot 3.1 peratus pada Disember 2022 bagi asas tahun ke tahun. 

Bagi asas purata penggerak tiga bulan, output pembuatan turun 2.6 peratus pada Disember 2022, berbanding tahun lalu, kata agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri itu.  

Bagi kluster elektronik, ia berkata output meningkat 4.6 peratus pada Disember 2022 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Keseluruhannya, output kluster elektronik berkembang 2.6 peratus pada 2022 berbanding 2021, kata EDB.

Maybank Research berkata pada Disember 2022, kluster elektronik mencatatkan pertumbuhan buat pertama kali dalam tempoh enam bulan merekodkan paras output tertinggi sejak Mei 2022. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan