JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat video lelaki pukul wanita

28/01/2023 03:50 PM

GUA MUSANG, 28 Jan (Bernama) -- Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung klip video kejadian seorang lelaki memukul seorang wanita yang didakwa berlaku di daerah ini agar tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu telah dimuat naik di Facebook pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, katanya hingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.

“Hasil siasatan polis, kejadian itu dikatakan berlaku di Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang dekat Paloh 2, di sini, namun tiada kepastian.

“Tarikh dan masa kejadian juga tidak dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sik berkata semua Ketua Polis Balai diarah untuk mengesan suspek berdasarkan individu dan tempat kejadian dalam video itu.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan seorang wanita hanya menahan kesakitan dan  tidak melawan apabila dimarahi, ditampar serta dipukul dengan topi keledar oleh seorang lelaki. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan