KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pengeluar gula bertapis negara, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) berkata gula mentah dalam produk jenama Gula Prai diperoleh daripada inisiatif gula tanpa penebangan hutan dan tanpa eksploitasi manusia (NDPE) Wilmar.
Inisiatif Gula NDPE Wilmar menyasarkan untuk menjadikan pengeluaran tebu yang mampan alam sekitar dan meningkatkan taraf hidup individu yang terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Syed Feizal Syed Mohammad berkata beliau berbangga apabila Gula Prai telah menjadi pilihan paling popular dan kekal sebagai pilihan ikonik dalam kalangan pengguna serta pemain industri makanan dan minuman di Malaysia sejak 1964.
“Bagi meraikan pencapaian ini, pembungkusan pengguna Gula Prai baharu akan tertera logo Gula NDPE,” katanya.
Katanya bagi memahami sepenuhnya sejauhmana kebolehlihatan dan kebolehkesanan rantaian bekalan, antara teras Polisi Gula NDPE ialah memastikan penyumberan gula dipetakan ke semua kilang penapisan dan memerlukan maklumat khusus yang tersedia.
Beliau berkata MSM sentiasa berusaha untuk meningkatkan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pengeluaran makanan dan memastikan kehadiran MSM sebagai penapis gula mampan bersepadu yang lebih kukuh di pasaran peringkat tempatan dan global.
“Melalui kerjasama dengan Wilmar Sugar, pemain utama dunia dalam komoditi gula dan inisiatif Gula NDPE, MSM dapat menzahirkan kemampanan dalam operasi dan perniagaan kami, dan yang paling penting ia bermula pada barisan pertama ekosistem rantaian bekalan produk kami – penyumberan gula mentah,” katanya.
Pada masa ini, MSM mengendalikan dua kilang penapisan gula, satu di Prai, Pulau Pinang dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.05 juta tan gula bertapis, kilang penapisan gula terbesar negara, dan di Tanjung Langsat, Johor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan gula bertapis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial