SUKAN

Speedy Tigers usah terbuai kejayaan lalu - Arul Selvaraj

26/01/2023 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Skuad hoki kebangsaan yang akan bertemu Afrika Selatan bagi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 kempen Piala Dunia 2023 esok, digesa tidak terlalu terbuai dengan kejayaan mengalahkan lawan sama di Ipoh, Perak tahun lalu.

Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan A. Arul Selvaraj berkata apabila berentap di pentas Piala Dunia, cabaran yang akan dihadapi pastinya berbeza demi memburu kemenangan. 

“Apabila kita datang ke Piala Dunia ia akan selalu menjadi perlawanan yang berbeza, mentaliti pemain juga berbeza. 

“Jadi kita tidak boleh menggunakan landasan kemenangan 7-2 di Ipoh untuk bermain esok, kita masih perlu bekerja keras,” katanya menerusi rakaman video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini. 

Arul Selvaraj berkata skuad 'Speedy Tigers' pada masa sama perlu memupuk asas pemikiran yang baik selain meletakkan kemahuan dan kepercayaan tinggi dalam mencipta kemenangan sekali lagi ke atas Afrika Selatan.

Pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 November tahun lepas, Malaysia menewaskan Afrika Selatan 7-2 pada aksi kumpulan. 

Menjelang pertembungan di Stadium Birsa Munda, Rourkela di India esok, Malaysia memiliki kelebihan di atas kertas berdasarkan kedudukan ranking dunia di tempat ke-10 manakala Afrika Selatan di ranking ke-15.

Penyertaan di India merupakan penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971, dengan pencapaian terbaik meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Edisi lepas menyaksikan Malaysia hanya mampu menamatkan cabaran di tempat ke-15.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan