DUNIA

Biden gesa Kongres segera lulus larangan penggunaan senjata api

24/01/2023 12:39 PM

WASHINGTON, 24 Jan (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata Kongres mesti meluluskan undang-undang baharu mengenai larangan penggunaan senjata api berbahaya berikutan insiden tembakan baru-baru ini termasuk di Monterey Park, California, lapor Sputnik.

"Hari ini, Senator (Dianne) Feinstein...sekali lagi mengesyorkan Assault Weapons and High-Capacity Magazine Ban di Senat serta undang-undang yang menaikkan had umur untuk membelinya kepada 21 tahun.

"Saya menggesa kedua-dua dewan di Kongres untuk bertindak segera dan secepat mungkin   kemukakannya kepada saya,” kata Biden dalam satu kenyataan pada Isnin. 

Ketika menandatangani Bipartisan Safer Communities Act pada musim panas lalu, Biden berkata masih ada perkara yang perlu dilakukan untuk menjauhkan senjata api berbahaya daripada dimiliki oleh orang yang berbahaya.

"Dalam masa yang singkat sahaja masyarakat di seluruh Amerika telah dilanda tragedi demi tragedi, termasuk kejadian tembakan besar-besaran di Colorado Springs dan Monterey Park…," kata beliau.

Pada Sabtu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kelab tarian di Monterey Park yang mengorbankan 11 nyawa serta mencederakan sembilan yang lain.

Sementara itu, polis di Half Moon Bay, California, di selatan San Francisco berkata seorang suspek ditahan susulan laporan empat ditemukan maut dalam dua kejadian tembakan pada Isnin. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan