AM

Amaran angin kencang, laut bergelora di beberapa negeri hingga 25 Jan

20/01/2023 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan negara hingga Rabu depan (25 Jan).

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran kategori pertama membabitkan kejadian angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dan keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Amaran kenaikan paras air laut turut dikeluarkan MetMalaysia yang dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan sehingga esok dan keadaan itu berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora untuk perkapalan.

Amaran kategori ketiga melibatkan fenomena angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Condore hingga Rabu depan dan keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Bagi amaran kategori kedua, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Tioman, selatan Condore, barat Reef North hingga Rabu ini.

Menurut MetMalaysia, keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan selatan Samui, selatan Tioman, Bunguran, timur Reef North, utara Reef South, Layang-Layang dan Palawan hingga Rabu.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan