AM

Tanaman asli Sarawak berpotensi dikeluarkan besar-besaran - Abang Jo

17/01/2023 03:45 PM

KUCHING, 17 Jan (Bernama) -- Buah-buahan serta sayur-sayuran asli Sarawak berpotensi untuk dikomersialkan dan dikeluarkan secara besar-besaran, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tanaman asli seperti Terung Asam yang popular di negeri itu boleh dimajukan dalam skala besar dengan adanya nilai tambah.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah Sarawak

“Komuniti pertanian moden perlu mengenal pasti produk asli ini yang boleh dihasilkan secara besar-besaran tapi pada masa sama kita perlu mengekalkan kualiti produk kita,” katanya ketika berucap pada Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda kali pertama, di sini hari ini.

Bengkel berkenaan turut dihadiri Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.

Sementara itu, Abang Johari berkata penyesuaian teknologi adalah penting bagi petani moden untuk mengubah proses pertanian terutamanya dalam menghasilkan lebih banyak pengeluaran.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam projek untuk meningkatkan hasil padi sekurang-kurangnya tiga kali ganda dalam tempoh 18 bulan.

“Apabila saya nyatakan perkara ini kepada pesawah kita, mereka kata ia tidak boleh dilakukan, mereka kata hanya boleh buat (tuai) sekali dalam setahun.

“Saya berikan kepada UPM RM3 juta untuk memulakan projek ini dan jika ia berjaya, kita boleh gunakan templat ini dalam bidang lain,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan