PASIR GUDANG, 15 Jan (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menyalurkan peruntukan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di sini, bagi membaik pulih sistem bekalan air di sekolah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAAB School Sustainability berteraskan kelestarian dalam pendidikan.
"Menerusi peruntukan ini, PAAB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), akan membaiki dan menaik taraf sistem bekalan air di sekolah ini bagi memastikan 2,004 pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan lebih kondusif.
"Selain itu, dana berkenaan juga akan dibelanjakan untuk menaik taraf bilik guru yang menempatkan seramai 122 guru untuk memudahkan mereka melaksanakan tugasan harian sebagai pendidik dengan lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan e-Komik PAAB Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengetua SMK Taman Scientex Mohd Azmi Abdul Rahman.
Abdul Hadi berkata SMK Taman Scientex dipilih antara sekolah yang menyertai program PAAB School Sustainability 2022-2023 berikutan kedudukannya berada dalam jajaran Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2.
Beliau berkata Projek LRA Layang 2 melibatkan kos RM233.5 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan itu berupaya menyalurkan tambahan bekalan air bersih berjumlah 320 juta liter sehari ke kawasan Pasir Gudang, Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata pihaknya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PAAB atas sumbangan berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada warga SMK Taman Scientex untuk menjalani sesi persekolahan dengan lebih selesa.
"Menerusi dana ini pihak sekolah dapat menyelenggara antaranya saluran paip di semua wakaf, pam air tempat wuduk, paip pondok pengawal dan longkang dalam kawasan sekolah, membina laluan di hadapan pejabat ke bilik SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks) serta menaik taraf Bilik Guru Sakura," katanya.
Terdahulu, SMK Taman Scientex dengan kerjasama dan tajaan PAAB turut menganjurkan Pertandingan e-Komik bertemakan Penjimatan Air melibatkan penyertaan 450 pelajar yang mewakili 25 sekolah dari seluruh negara.
Pertandingan itu bertujuan menghimpunkan pelbagai idea kreatif dan mesej penjimatan air untuk rujukan masa hadapan sekali gus menyebarkan maklumat mengenai penjimatan air menerusi kempen kesedaran air kepada generasi muda.
Pemenang pertandingan yang dibuka penyertaannya selama sebulan mulai 12 Dis tahun lepas menerusi dalam talian itu akan diumumkan Februari depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial