AM

Anwar tiba di Sabah, dijadual bertemu pemimpin negeri malam ini

09/01/2023 11:17 PM

KOTA KINABALU, 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa di sini malam ini selepas melakukan lawatan rasmi dua hari di Indonesia.

Pesawat membawa pemimpin nombor satu negara itu tiba pada 9.41 malam dan disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan serta Setiausaha Agung Parti Warisan Datuk Loretto Padua Jr.

Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO, dijadual menghadiri majlis bersama pemimpin negeri Sabah di sebuah hotel sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam yang dilantik.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan