AM

Pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar akan diteruskan - Azalina

07/01/2023 04:55 PM

KOTA TINGGI, 7 Jan (Bernama) -- Pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar, Iskandar Puteri bernilai kira-kira RM300 juta yang tergendala sejak empat tahun lepas, akan diteruskan semula dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata projek itu perlu diteruskan memandangkan keperluan negeri ini untuk mempunyai satu kompleks mahkamah yang besar dan berpusat.

"Saya akan bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk melihat semula tapak projek itu yang sebelum ini dicadangkan dan dipilih ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Dalam tiga atau empat minggu lagi, kita akan ke Johor Bahru dan menjemput Menteri Besar untuk melihat tapak berkenaan dan saya harap Bahagian Undang-Undang akan melaksanakan (pembinaan)," katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat sempena pelancaran Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Klinik Bergerak Parlimen Pengerang di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan kompleks mahkamah itu akan menempatkan beberapa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata segala kertas kerja termasuk reka bentuk mahkamah itu sudah ada sejak 2018, namun disebabkan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), projek tersebut tergendala.

"Jadi kita harap projek ini dapat dihidupkan semula. Saya rasa di Johor, tiada satu mahkamah yang besar bertempat di pusat pentadbiran kerajaan Johor seperti negeri-negeri lain," katanya.

Pada 18 Jan 2018, dilaporkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyeru kerajaan Persekutuan supaya mempercepat pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kerana mahkamah sedia ada sudah tidak mampu memenuhi keperluan masyarakat pada masa ini.

Sementara itu, Azalina berkata beliau akan membuat lawatan tapak Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar di sini dalam masa dua minggu lagi.

"Untuk Mahkamah Pengerang, kita dah pecah tanah dan kini dalam proses pembinaan," katanya sambil menambah mahkamah itu dipindahkan dari mahkamah yang terletak di Kampung Pengerang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan