AM

MALAYSIA HARGAI KOMITMEN MEDIA INDONESIA MEMELIHARA HUBUNGAN DUA NEGARA

02/01/2023 01:13 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Malaysia menghargai komitmen media Indonesia yang menyediakan laporan tepat dan objektif mengenai hal ehwal membabitkan dua negara serumpun.

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pemberitaan seimbang dengan fakta jelas mampu mendidik masyarakat serta menangkis kandungan berita atau laporan palsu yang banyak dimuat naik di media sosial.

Dalam sesi bersama media, beliau turut bersetuju dengan pimpinan editorial yang berusaha memencilkan isu kurang produktif termasuk perselisihan mengenai kebudayaan di UNESCO.

Sesi yang dianjur Kedutaan Besar Malaysia baru-baru ini diadakan sempena lawatan rasminya ke Indonesia diringi Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Kementerian Luar Roseli Abdul.

Zambry turut mencadangkan dimensi baharu hubungan dua negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sangat akrab dengan Presiden Joko Widodo diberi perhatian.

“Kedua-dua pemimpin ini mampu menjadi ‘the new force’ dalam organisasi ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama dan melindungi kestabilan serta kemakmuran rantau Asia Tenggara,” kata beliau.

Media Indonesia pula menzahirkan ucapan tahniah kepada Zambry atas pelantikan beliau sebagai Menteri Luar dan berharap hubungan baik dua negara akan terus diperkukuh.

Zambry diundang untuk hadir memeriahkan Hari PERS Nasional atau Hari Wartawan Indonesia yang akan berlangsung di Medan, Sumatera Utara pada Februari ini.

Selain perbincangan mengenai isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia dan lawatan perdana menteri, media Indonesia menggesa kerajaan kedua-dua negara segera memerangi berita palsu di media sosial.

Pertemuan itu dihadiri ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia Asro Kamal Rokan dan ketua Persatuan Wartawan Indonesia Atal S. Depari.

Turut hadir setiausaha agung ISWAMI Indonesia N. Syamsuddin Ch. Haesy serta wakil daripada  Harian Kompas, MetroTV, Republika, Tempo, The Jakarta Post, dan tvOne.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan