AM

Pengurangan cukai taksiran kediaman di Putrajaya, bukti kerajaan cakna - Cuepacs

23/12/2022 01:41 PM

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengurangkan cukai taksiran sebanyak 30 peratus bagi semua kediaman berharga di bawah RM300,000 di sekitar pusat pentadbiran kerajaan ini, jelas menunjukkan kecaknaan terhadap permasalahan dihadapi penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata ini kerana kebanyakan pemilik rumah yang memanfaatkan keputusan itu adalah daripada golongan berkenaan.

“Cuepacs amat menghargai usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu cakna dan dalam masa sama memberi penyelesaian segera terhadap sebarang permasalahan yang dibangkitkan terutama melibatkan isu yang dekat dengan penjawat awam dan rakyat.

“Cuepacs memberikan keyakinan penuh kepada Perdana Menteri untuk melihat dan menyelesaikan permasalahan penjawat awam dan rakyat terutama dalam isu pemilikan kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan berkenaan yang berkuat kuasa mulai 1 Jan ini sehingga penilaian semula dilaksanakan  Perbadanan Putrajaya, diumumkan Perdana Menteri semalam.

Dalam pada itu, Adnan berkata kongres turut mencadangkan kerajaan meneliti semua pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam memandangkan banyak tanah kosong milik kerajaan terdapat di Putrajaya dan seluruh negara.

Katanya Cuepacs berpandangan pembinaan perumahan khusus untuk penjawat awam harus dilaksanakan semula dan Putrajaya boleh menjadi lokasi pertama untuk projek perumahan seumpama itu.

“Kami tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membeli, tetapi harga yang ditawarkan pemaju ketika ini tidak masuk akal berbanding kadar gaji semasa penjawat awam.

“Bayangkan kediaman di sekitar Putrajaya rata-ratanya bermula pada harga RM400,000 dan ke atas, bagaimana penjawat awam yang kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40 mampu membelinya,” katanya.

Pada Mei 2019, kerajaan mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam dalam pelaksanaan ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan