AM

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan menurun

21/12/2022 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan merekodkan penurunan, manakala jumlah mangsa di Pahang, Perak dan Johor kekal setakat malam ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan dengan 36,180 orang masih berlindung di 261 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang, berbanding 38,574 orang petang tadi.

Di KELANTAN, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di 116 PPS di lapan jajahan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok turut merekodkan penurunan kepada 30,551 orang malam ini berbanding  31,584 orang petang tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan mengadakan lawatan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini kekal dengan 30 orang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Keratong, di Rompin kekal melepasi tahap bahaya, manakala di Maran, Sungai Pahang (Lubuk Paku) dan Sungai Luit (Kampung Subuh) serta Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan, masih melebihi tahap amaran.

Di JOHOR Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di Segamat kekal 48 orang malam ini, manakala di PERAK Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa juga kekal dengan 26 orang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan