AM

LZS terima RM11.1 juta zakat perniagaan 45 syarikat korporat

21/12/2022 05:29 PM

SHAH ALAM, 21 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) Selasa menerima zakat perniagaan daripada 45 syarikat korporat berjumlah RM11.1 juta yang diserahkan dalam satu upacara di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Dalam majlis tersebut, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran RM2.59 juta diikuti QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Kumpulan (RM1.74 juta), SIRIM Berhad (RM1.14 juta) serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd., sejumlah RM1 juta.

Zakat perniagaan daripada kesemua syarikat korporat tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Mohd Sabirin berkata jumlah kutipan zakat setakat November telah melebihi RM800 juta dan pihaknya berharap agar kutipan keseluruhan tahun ini mampu mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1.05 bilion.

"Bagaimanapun, bukan sasaran kutipan ini yang hendak dikejar dan dibanggakan. Apa yang penting, sasaran tersebut menjadi penanda aras kepada kami untuk berusaha keras memastikan keperluan agihan dipenuhi agar dapat menyantuni kehidupan asnaf sepanjang tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan LZS)di Dewan Orkid, Wisma PKPS, di sini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris. 

Pada majlis sama, LZS turut menyampaikan Bantuan Dermasiswa Huffaz kepada enam buah sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menyalurkan bantuan zakat kepada dua individu terpilih dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.57 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.53 juta diagihkan kepada sekolah-sekolah agama berkenaan, manakala dua lagi individu masing-masing menerima Bantuan Perubatan Penyakit Jarang Jumpa (Hunter Syndrome) berjumlah RM27,736 dan Bantuan Pendidikan Anak Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM12,000.

Selain itu, Mohd Sabirin berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 335,000 syarikat dan individu telah melunaskan pembayaran zakat mereka di LZS.

“Bagaimanapun, pihak kami mendapati jumlah pembayar yang berpotensi untuk mengeluarkan zakat adalah kira-kira sejuta orang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan