AM

Impian PM Anwar lawat bumi Palestin yang bebas

20/12/2022 12:33 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan impiannya untuk melawat sebuah negara Palestin yang bebas.

Hasrat itu dikongsi oleh Anwar apabila dijemput sendiri oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui panggilan telefon bersama presiden itu yang menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Sudah pasti, saya menantikannya. Saya tidak pernah ke sana dan menjadi impian saya untuk ke sana dan khususnya ke negara Palestin yang bebas...insya-Allah,” katanya.

Video perbualan mereka dikongsikan di Facebooknya hari ini.

Dalam perbualan itu, Mahmoud, yang mempelawa Anwar melawat Palestin pada bila-bila masa, berkata negara itu berbesar hati untuk menerima kunjungan Perdana Menteri ke bumi mereka.

Semasa perbualan selama enam minit itu, Mahmoud turut menyatakan penghargaannya terhadap sokongan Anwar terhadap rakyat Palestin.

“Saya berterima kasih kepada pendirian anda dalam isu isu Palestin dan anda memberi sokongan kepada Palestin di mana saja khusus dalam komuniti antarabangsa. Kami mengagumi bantuan, pendidikan dan latihan daripada anda, “ kata Mahmoud.

Anwar dalam perbualan tersebut berkata Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin.

Mahmoud berkata  Palestin akan membuka semua pintu kerjasama perdagangan dan hubungan ekonomi dengan Malaysia.

Sementara itu, dalam catatan Facebooknya, Perdana Menteri berkata dalam perbualan telefon itu beliau dan Mahmoud mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan.

“Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan