POLITIK

Fahmi kesal Pemuda PN buat laporan polis berhubung Kerajaan Perpaduan

19/12/2022 02:30 AM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal terhadap laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) berhubung Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara pemimpin parti-parti dalam kerajaan. 

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan tidak menghormati keputusan Majlis Raja-Raja kerana mendakwa perjanjian yang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan sebagai satu 'pakatan jahat.' 

"Kita kena ingat Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“PAS dalam kerajaan sebelum ini pun pernah tunjuk sikap derhaka kepada Tuanku... jadi saya lihat memang Pemuda PN ini saya rasa terbawa-bawa dengan amalan dari dulu," katanya kepada Bernama pada Program Jom Tonton Perlawanan Akhir Piala Dunia 2022 di Kompleks Sukan Ecopark, Pantai Dalam di sini malam ini.

Ketua Penerangan PKR itu juga berkata Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bukanlah untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan sebaliknya bagi menjamin kestabilan, menyelesaikan masalah rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

"Dari awal Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menghulurkan salam persahabatan menjemput PN bersama-sama dalam (membentuk) kerajaan, memandangkan mereka masih enggan maka berkhidmatlah sebagai pembangkang dan setia kepada Tuanku. 

"Saya rasa mereka perlu nilai balik perkara ini, hentikanlah menanam bibit-bibit pertikaian dan janganlah biadap," katanya. 

Terdahulu, dilaporkan Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari membuat laporan polis berkenaan ‘pakatan jahat’ antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan Perjanjian Persefahaman Kerjasama yang didakwa merosak dan memudaratkan demokrasi.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan