SUKAN

Semangat Azizulhasni masih membara dengan emas dan perak di Melbourne

17/12/2022 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menepati nama jolokan ‘The Pocket Rocketman’ apabila memperagakan kayuhan cemerlang untuk meraih emas dan perak masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia, hari ini.

Apa yang menjadikan pencapaiannya lebih menakjubkan ialah hakikat bahawa beliau baru sahaja menjalani pembedahan jantung terbuka pada April lalu.

Azizulhasni, yang mencatat masa 9.766 saat (s) dalam pusingan kelayakan sebelum menyingkirkan pelumba New Zealand, Sam Dakin pada separuh akhir.

Pada acara akhir pecut, Azizulhasni encatatkan masa 10.95s dalam pusingan pertama dan 10.52s dalam pusingan kedua  untuk menewaskan Sam Gallagher daripada Kelab Berbasikal Blackburn untuk pingat emas.

“Persembahan yang baik untuk saya dalam acara pecut hari ini. Saya tidak menjangkakan sebaik ini.

““Saya sangat terkejut kerana melakukan masa yang baik pada pusingan kelayakan. Saya berasa baik pada pusingan akhir, hanya melakukan kayuhan biasa dan menang dengan selesa,” katanya menerusi hantaran mengenai kisahnya di Instagramnya.

Azizulhasni, bagaimanapun, gagal dalam usahanya memburu emas kedua apabila menduduki tempat kedua di belakang James Brister (10.35s) dari Kelab Berbasikal Port Adelaide dalam acara akhir keirin melibatkan enam pelumba.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Kelab Berbasikal Dubbo, Daniel Barber.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan