SUKAN

175 pemain sertai Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ

15/12/2022 01:01 AM

PETALING JAYA, 14 Dis (Bernama) -- Seramai 175 peserta dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan bagi merebut kejuaraan pada Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) edisi ke-32, yang akan berlangsung Sabtu ini hingga 21 Dis. 

Kejohanan melibatkan 169 peserta tempatan dan enam peserta luar negara iaitu Singapura (tiga), Australia (dua) dan India (seorang) itu, akan diadakan di tiga lokasi berbeza iaitu Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya; SS 3/14, Kelana Jaya dan Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya, mengikut kategori dipertandingkan.

Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan iaitu bawah lapan tahun (mini tenis), 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun dan bawah 16 tahun bagi acara perseorangan, beregu remaja lelaki dan perempuan. 

Naib Presiden Persatuan Tenis Selangor (STA) Tengku Datuk Mohamed Alhaj Tengku Harun berkata kejohanan diiktiraf Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM) itu, turut menawarkan mata ranking remaja kebangsaan bagi memastikan peserta tempatan berpeluang menggalas cabaran negara di kejohanan antarabangsa. 

"Mata ranking remaja kebangsaan ini hanya ditawarkan buat pemain dari Malaysia dan tidak melibatkan enam peserta luar negara. Dengan pengiktirafan ini, saya percaya lebih ramai lagi pemain dari seluruh negara akan menyertai kejohanan ini bagi edisi akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kejohanan yang dianjurkan hasil kerjasama MBPJ dan STA, di ibu pejabat MBPJ di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPJ Mohamad Azhan Md Amir berkata kejohanan itu merupakan pentas terbaik bagi pemain muda tempatan bersaing dengan atlet luar negara untuk meningkatkan mutu permainan mereka. 

“Kejohanan ini dapat memberi pendedahan kepada pemain muda kita menerusi perlawanan yang baik dengan pemain-pemain hebat luar negara sekali gus mematangkan mereka untuk kejohanan lebih besar pada masa akan datang," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan