AM

KPDN TUMPAS AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DI TELOK PANGLIMA GARANG

13/12/2022 05:42 PM

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah premis di Telok Panglima Garang, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata dalam operasi pada 1.15 tengah hari itu, sepasukan anggota KPDN Putrajaya menemukan sebuah lori yang diubah suai serta dua tangki dalam kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori dan tangki terbabit, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 23,325 liter, pam bermotor, sebuah kereta dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata minyak diesel, lori dan kereta serta peralatan lain yang ditemukan di lokasi itu telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM102,000.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini.

“KPDN juga akan mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan