DUNIA

Menteri Luar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU di Brussels

12/12/2022 07:08 PM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Wakil Khas Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) yang berlangsung buat julung kalinya di Brussels, Belgium, pada 14 Dis. 

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan hala tuju hubungan dialog ASEAN-EU serta kerjasama politik keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, perubahan iklim, keselamatan makanan dan pembangunan mampan, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini. 

Pada 13 Dis, Zambry dijadualkan menghadiri C-Suite Luncheon anjuran Majlis Perniagaan EU-ASEAN bagi sesi libat urus bersama pemimpin perniagaan di Eropah.

Beliau akan diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Liew Chin Tong dan pegawai kanan MITI.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa di luar Sidang Kemuncak Peringatan, Malaysia dan EU dijadualkan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama.

Perjanjian ini menyasar untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan dan maritim.  

Menteri Luar turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat dari ASEAN dan EU untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dialog ASEAN-EU

“Ia juga merupakan peluang untuk Malaysia berkongsi pandangan mengenai isu-isu berkepentingan strategik,” menurut kenyataan itu.

Menteri Luar turut menghoskan majlis makan malam untuk rakyat Malaysia di Belgium.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan