AM

Johor galak pemaju sertai PDRC bina lebih banyak rumah mampu milik

10/12/2022 04:15 PM

KLUANG, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor menggalakkan pemaju perumahan menyertai Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) yang diwujudkan pada Jun lepas bagi membina lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah itu penting bagi memastikan sasaran kerajaan negeri untuk membina lebih 21,000 rumah mampu milik bagi tempoh lima tahun, mampu dicapai.

Beliau berkata setakat ini pemaju perumahan telah berjaya membina kira-kira 3,000 unit rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40.

“PDRC bertindak sebagai unit ‘task force’ menyelia dan pemudah cara kepada pembinaan perumahan di negeri ini terutama rumah mampu milik yang akan disertai oleh pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi pentadbiran kerajaan negeri.

“Melalui PDRC ini, kita mengalu-alukan pemaju yang serius membantu kerajaan Johor membina rumah mampu milik di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Fasa 2, Taman Puterimas di sini hari ini.

Beliau berkata PDRC juga berperanan sebagai pemudah cara untuk golongan penjawat awam memiliki rumah sendiri terutama bagi segmen rumah mampu milik berkenaan.

Menurut Mohd Jafni sebagai permulaan, sebanyak 300 unit rumah mampu milik dibina di daerah ini khusus kepada penjawat awam manakala 700 unit rumah mampu milik berkonsepkan sewaan pula dibina di Pengerang di Kota Tinggi.

“Kita juga menggalakkan pemaju lain untuk membina rumah mampu milik bagi penjawat awam kerana permintaannya semakin tinggi,” katanya sambil menambah dengan adanya PDRC pemohonan untuk memiliki rumah boleh dilakukan secara dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan