AM

Ahmad Fuzi lakukan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth

09/12/2022 07:14 PM

BUTTERWORTH, 9 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini buat julung kalinya mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth, di sini dan menunaikan solat Jumaat bersama warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahmad Fuzi tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada kira-kira 12 tengah hari dan disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris serta Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datjm Mahadzer Amin.

"Sebaik ketibaan, Ahmad Fuzi menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Pangkalan Udara Butterworth yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota diketuai oleh Mejar Mohd Ariffaizi Omar TUDM serta diiringi pancaragam dari Akademi Tentera Udara di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Haniff  Che Razak.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd.

"Ahmad Fuzi kemudiannya melawat ke pameran statik pesawat pejuang HAWK MK 108 dan F/A-18-D Hornet, Helikopter EC 725 dan AW 139 serta kenderaan Bomba TUDM, seterusnya beliau menandatangani buku lawatan sebagai penzahiran lawatan ulung ke Pangkalan Udara Butterworth," menurut kenyataan itu.

Ahmad Fuzi seterusnya mendengar taklimat pangkalan meliputi pengoperasian, hala tuju serta cabaran yang dihadapi serta isu semasa di Pangkalan Udara Butterworth di Bangunan Pergerakan Udara.

Beliau kemudianya ke Surau Salahuddin Al-Ayyubi bagi menyantuni dan menyempurnakan Penyampaian Gerobok Rezeki kepada 100 warga pangkalan terdiri dari anggota TUDM, kakitangan awam di bawah pentadbiran pangkalan, ahli keluarga, anak istimewa dan saudara baharu (mualaf).

Ahmad Fuzi kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama-sama warga TUDM dan mendengar Khutbah bertajuk “Tanggungjawab Ibu Bapa Sewaktu Cuti Sekolah” sebelum turut meluangkan masa beramah mesra dengan eksekutif dan warga pangkalan.

"Mengakhiri lawatan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang itu menaiki helikopter AW 139 yang diterbangkan oleh Jurulatih Penerbangan dari No 3 Skuadron Mejar Nor Syawal  Mohamad Din bagi membuat tinjauan udara di kawasan sekitar Pulau Pinang.

"Penerbangan ini merupakan penerbangan sulung Ahmad Fuzi bersama TUDM," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan