PENAMPANG, 9 Dis (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan menggariskan beberapa pendekatan baharu termasuk memberi tumpuan lebih besar dalam aspek pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata langkah itu sebagai usaha menjayakan misi Kerajaan Perpaduan bertepatan dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin fokus diberikan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
"Saya ingin menggariskan beberapa pendekatan baharu untuk kementerian tanpa mengurangkan fokus sedia ada.
"Saya juga akan memberi fokus tambahan lebih banyak di kawasan Penampang dan Kadamaian dalam aspek perusahaan berasaskan digital ekonomi, agropelancongan serta isu berkaitan penjaja di tamu," kata Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata fokus memperkasa ekonomi digital di Penampang dilihat akan dapat membantu merealisasikan antara manifesto beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu untuk menjadikan Penampang sebagai daerah perusahaan berasaskan ekonomi digital.
“Secara prinsipnya, kementerian bersetuju membina satu kompleks menempatkan perusahaan berkaitan digital dan teknologi maklumat termasuk animasi, pembangunan perisian dan aplikasi. Kita akan kenal pasti kawasan sesuai untuk kompleks itu di Penampang,” katanya.
Mengenai pelancongan berasaskan pertanian pula, Ewon berkata Kadamaian memiliki banyak sektor pelancongan berasaskan komuniti yang sesuai untuk pembangunan agropelancongan.
Mengulas kunjungannya ke Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di sini semalam, Ewon berkata pihaknya akan bekerjasama dengan badan itu bagi menjayakam beberapa inisiatif khususnya membangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang.
Dalam kunjungan itu, Ewon turut mendengar pembentangan daripada KCCI selain berkongsi wawasan untuk membangunkan Penampang dalam bidang keusahawanan digital, agropelancongan dan perusahaan kecil di tamu.
“Saya berharap pihak KCCI akan membantu pejabat saya untuk merangka Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang dan saya akan angkat pelan ini sebagai dokumen dasar untuk diserapkan dalam program-program kementerian kelak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial