EKONOMI

Labuan FSA diiktiraf jenama terbaik 2022 e-penjenamaan Brandlaureate bagi Fintech-IFS

09/12/2022 01:19 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 9 Dis (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) diiktiraf sebagai jenama terbaik 2022 e-penjenamaan bagi teknologi kewangan (fintech)-perkhidmatan kewangan Islam (IFS) sekali gus meraih Anugerah Jenama Terbaik Tahun 2022 BrandLaureate baru-baru ini.

Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata anugerah itu adalah pengiktirafan atas sumbangan pihaknya sebagai pengawal selia ke arah kemajuan kewangan Islam khususnya berkaitan usaha mempromosikan Labuan sebagai Pusat Aset Digital Islam (IDAC) seperti yang terkandung dalam Pelan Hala Tuju Strategik Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) 2022-2026.

IDAC Labuan yang diumumkan pada Oktober 2022 menyediakan penyenaraian maya menerusi teknologi ‘blockchain’ untuk membolehkan pelabur global yang mencari kelas aset baharu termasuk produk pelaburan digital patuh syariah agar menggunakan Labuan IBFC.

“Produk patuh syariah itu adalah dalam bentuk tawaran token sekuriti terbitan syarikat korporat yang ingin mengumpul dana serta menjamin aset mereka dan didagangkan di bursa,” katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata dalam usaha mencapai aspirasi Labuan sebagai pusat kewangan Islam Asia, Labuan FSA telah mengeluarkan Nota Panduan mengenai Terbitan Sukuk Hijau, Sosial dan Kemampanan selain akan melancarkan garis panduan berkaitan aset digital dan RAMZ (istilah Arab untuk token) dalam tempoh terdekat, bagi memperkukuh tadbir urus pusat itu.

Ini adalah selaras dengan pelan hala tuju itu yang menyasarkan Labuan IBFC memainkan peranan yang lebih penting sebagai hab penjanaan dana dan pelaburan dalam ruang digital global, dengan khusus dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta aktiviti patuh syariah.

Nik Mohamed Din menerima anugerah itu daripada Presiden Dunia, Anugerah BrandLaureate, Dr. KK Johan pada acara Gala Anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Dis, 2022.

“Anugerah ini mengiktiraf serta mengesahkan usaha dan komitmen Labuan FSA untuk mempromosikan IDAC, dan juga cerminan menyeluruh pencapaian industri Labuan IBFC untuk mengembangkan dan menginovasi perniagaan kewangan syariah.

“Peranan Labuan dalam kewangan Islam semakin mendapat tarikan, disokong oleh infrastruktur komprehensif yang menyokong dan memberikan kepastian serta integriti untuk struktur berasaskan syariah,” katanya.

Daripada hanya dua bank Islam pada 2000, bilangan bank Islam di Labuan FSA meningkat kepada 19, termasuk jendela, dengan jumlah aset perbankan Islam melebihi US$1.9 bilion (US$1=RM4.39) pada suku kedua 2022.

Trend yang sama dicatatkan dalam sektor takaful semulanya, dengan bilangan pengendali meningkat daripada tiga pada 2000 kepada 29 pada Jun 2022, manakala sumbangan takaful semula berjumlah US$59 juta pada separuh pertama 2022.

Nik Mohamed Din berkata Labuan FSA akan terus menyediakan kepimpinan pemikir dan merangka dasar strategik untuk melonjakkan pulau ini sebagai IDAC untuk Asia dan bukan Asia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan