EKONOMI

USAHA SAMA MALAYSIA-THAILAND SEMAI PERSPEKTIF BAHARU PASARAN HARTANAH TEMPATAN

08/12/2022 11:12 PM

BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Usaha sama di antara pemaju Malaysia dengan Thailand akan menyuntik perspektif baharu kepada pasaran hartanah di Malaysia, menurut Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Beliau berkata beberapa pemaju Malaysia telah mula membangunkan hartanah di Bangkok menerusi usaha sama dengan pemaju Thailand.

“Kita berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama bersinergi seperti ini di antara syarikat kedua-dua negara, malah konsep unik Thailand yang disemai ke Malaysia untuk menawarkan perspektif ‘baharu’ kepada tawaran di Malaysia, bersama-sama dengan rakan kongsi Malaysia.

“Kami ingin memberi jaminan kepada anda bahawa Kedutaan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa memberi galakan dan bersedia menyokong dan membantu pemaju dari segi inisiatif, idea dan usaha mereka yang memberikan impak positif kepada sektor hartanah di Malaysia dan Thailand,” katanya pada majlis makan malam dan taklimat mengenai hartanah oleh Institut REHDA semalam.

Jojie berkata kumpulan tokoh korporat Thailand daripada pelbagai industri seperti perbankan, undang-undang, hartanah, pembangunan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelancongan turut berminat untuk menyokong usaha sama rentas sempadan atau kerjasama di antara syarikat Thailand dengan Malaysia.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa 30 delegasi kanan perniagaan dari Malaysia berada di Thailand selama seminggu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Hartanah Asia anjuran PropertyGuru dan mengadakan pertemuan dengan rakan perniagaan untuk mendalami amalan terbaik Thailand dalam penjagaan kesihatan, pembangunan antarabangsa yang menggondol banyak anugerah antarabangsa serta teknologi pembinaan.

“Berikutan ‘lebihan’ beberapa kategori bekalan hartanah di pasaran Malaysia buat masa ini, beberapa idea inovatif mungkin menjadikan pasaran lebih rancak dan memberangsangkan,” katanya.

Institut REHDA dalam kenyataan berasingan berkata, pihaknya dengan kerjasama PropertyGuru for Business mengadakan ceramah dan makan malam melibatkan pemain hartanah dan pembangunan hartanah dari Malaysia, Thailand dan Singapura sempena lawatan penyelidikan hartanah antarabangsa ke Bangkok bermula 5-9 Disember.

Menurut institut berkenaan, delegasi itu terdiri daripada lebih 30 orang pengurusan kanan sektor pembangunan hartanah dari Malaysia yang diketuai oleh pemegang amanah Institut REHDA Tan Sri Teo Chiang Kok, Tan Sri Datuk Eddy Chen Lok Loi dan Datuk Muztaza Mohamed. 

Sesi jaringan itu akan membantu memudahkan kerjasama perniagaan yang lebih erat antara pihak berkepentingan hartanah dari Malaysia, Thailand dan Singapura, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan