KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) melancarkan edisi keenam penerbitan tahunan serantau Thought Leadership, ASEAN Insurance Pulse 2022 yang memberi penekanan terhadap sumbangan industri insurans kepada adaptasi iklim dan pembinaan daya tahan.
ASEAN Insurance Pulse 2022 dilancarkan oleh Setiausaha Agung Majlis Insurans ASEAN Christian Wanandi dan disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Zainudin Ishak pada Mesyuarat Pengawal Selia Insurans ASEAN ke-25 dan Mesyuarat Majlis Insurans ASEAN ke-48 di Bangkok, Thailand hari ini.
Malaysian Re dalam kenyataan hari memaklumkan penerbitan tahun ini meneroka perkaitan penyedia dan ejen insurans dengan Perjanjian Paris Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 yang telah ditandatangani semua negara ASEAN bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau menjelang 2050.
“Selain itu, laporan itu turut memfokuskan kepada impak penyahkarbonan dalam membentuk strategi dan operasi ekonomi ASEAN, daripada pengurusan aset dan menaja jamin kepada menyokong teknologi bersih dan mengubah operasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dapatan utama ASEAN Insurance Pulse 2022 melaporkan penyedia insurans ASEAN secara amnya mengetahui mengenai perjanjian Paris yang berkuat kuasa pada November 2016 dan sebahagian besar penyedia insurans ASEAN telahpun mempunyai proses dan prosedur pelaporan, sekali gus menunjukkan pendekatan mereka dalam menguruskan pendedahan kepada alam sekitar berkaitan standard alam sekitar.
Selain itu, penyedia insurans ASEAN kebanyakannya dalam proses membangunkan kriteria tentang bagaimana menggabungkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi mereka di samping menjalankan langkah-langkah menaja jamin secara berterusan untuk memudahkan penyahkarbonan.
“Dapatan penerbitan itu turut menyatakan pengawal selia ASEAN adalah pemacu utama dalam mempromosi dan menggalakkan integrasi ESG atau sasaran penyahkarbonan ke dalam operasi dan pelaporan penyedia insurans, dengan Malaysia dan Singapura sebagai paling ke hadapan ketika ini.
“Dapatan edisi keenam ASEAN Insurance Pulse adalah berdasarkan temu bual berstruktur dengan eksekutif daripada 24 syarikat insurans serantau dan antarabangsa, ejen, pembuat polisi dan persatuan perdagangan,” tambahnya.
Malaysian Re turut berharap komuniti insurans ASEAN akan meraih manfaat daripada dapatan mengenai penyahkarbonan ekonomi ASEAN dan kesannya kepada industri insurans.
“Memasuki edisi keenamnya tahun ini, ASEAN Insurance Pulse kekal sebagai sumber rujukan penting kepada peneraju insurans ASEAN dengan menyediakan maklumat penting pasaran, serta sebagai simbol integrasi dalam kalangan jawatankuasa insurans ASEAN,” katanya.
Mengulas edisi keenam ASEAN Insurance Pulse 2022, Zainudin berkata Malaysia Re komited dan berminat untuk mempelajari dan mempamerkan sumbangan dan persediaan industri itu dalam menguruskan risiko iklim, bukan sahaja sebagai pakar dalam mengurus dan mengalih risiko, tetapi juga sebagai warga korporat.
“ASEAN Insurance Pulse tahun ini didedikasikan kepada penyahkarbonan ekonomi dan peranan ESG dari perspektif industri insurans ASEAN.
“Kami harap laporan tahun ini bakal menjadi sumber rujukan berharga memandangkan temu bual kualitatif dan pengetahuan kami mengenai industri dan pemain industri, membolehkan kami mengenal pasti cabaran utama dan peluang dihadapi penyedia insurans ASEAN dalam membina daya tahan iklim atau strategi pematuhan ESG dan melaporkannya secara telus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial