EKONOMI

IATA mahu pengeluar tunjuk komitmen terhadap bahan bakar lestari

07/12/2022 08:15 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

GENEVA, 7 Dis (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mahu melihat pengeluar menunjukkan komitmen mengenai keupayaan mereka untuk memenuhi keperluan bahan api penerbangan mampan (SAF) industri penerbangan untuk menyokong matlamat penyahkarbonannya.

“Kami mahu melihat komitmen yang dibuat oleh pengeluar bahan api dalam realiti pengeluaran. Kami mahu melihat pembekal tradisional membuat komitmen sebenar kepada SAF.

''Walaupun volumnya masih rendah, ia berada dalam landasan yang betul. Saya berpendapat tahun 2023 adalah penting bagi industri untuk melihat komitmen dan bukti terhadap pembangunan penerbangan mampan,'' kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh pada Hari Global Media IATA di sini.

Tahun 2030 telah dilihat sebagai titik permulaan untuk mencapai 30 bilion liter pengeluaran dan penggunaan SAF.

Pengeluaran SAF akan mencapai sekurang-kurangnya 300 juta liter pada 2022, peningkatan 200 peratus pada pengeluaran 2021 sebanyak 100 juta liter.

Walsh berkata syarikat penerbangan menggunakan SAF walaupun pada harga yang tinggi.

“Sekiranya lebih banyak tersedia, ia akan dibeli. Itu jelas menunjukkan bahawa ia adalah isu bekalan dan kuasa pasaran sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikannya. Kerajaan di seluruh dunia yang kini berkongsi matlamat 2050 pelepasan karbon sifar bersih yang sama perlu menyediakan insentif pengeluaran komprehensif untuk SAF,” katanya.

Beliau berkata kerajaan di setiap negara perlu menyediakan insentif pengeluaran SAF sama seperti yang sedia ada untuk biogas dan biodiesel.

Sehingga industri telah mengkomersialkan pilihan untuk sumber kuasa alternatif seperti hidrogen, semua bekalan SAF penerbangan diperoleh daripada penapisan biofuel.

Beliau berkata terdapat juga banyak soalan yang perlu dijawab mengenai hidrogen, mengenai bekalan bersih dan ketersediaan pesawat, penyimpanan serta keselamatan.

"Kami tidak mengambil kira jumlah hidrogen yang besar, anda tahu Airbus telah bercakap mengenai pesawat berkuasa hidrogen mulai 2035," katanya.

Terdapat 15 syarikat penerbangan dan 15 lapangan terbang sudah mula menetapkan komitmen terhadap pesawat dan infrastruktur hidrogen, kira-kira US$4.5 bilion pelaburan telah diperuntukkan untuk kajian kebolehlaksanaan dan teknologi oleh pengilang peralatan asal untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

SAF boleh menyumbang kira-kira 65 peratus pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO₂) yang diperlukan oleh penerbangan untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada tahun 2050.

Bagaimanpun terdapat juga 35 peratus lagi CO₂ yang dikeluarkan oleh bahagian lain rantaian bekalan seperti kerangka pesawat dan enjin.

"Kami mengharapkan supaya mereka meningkatkan prestasi mereka, keseluruhan rantaian bekalan memainkan peranan untuk mencapai matlamat yang mampan,” katanya.

Beliau juga menyatakan bantahan terhadap cukai sebagai penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan