AM

Kerajaan negeri dicadang buat pemetaan semula sempadan perairan Singapura-Johor

07/12/2022 06:06 PM

ISKANDAR PUTERI, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri dicadangkan supaya membuat pemetaan semula persempadanan perairan antara Singapura dan Johor khususnya di perairan Selat Tebrau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana isu keselamatan dan kedaulatan negara harus diberi perhatian utama oleh kerajaan, sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan. 

"Aspek keselamatan dan kedaulatan negara ini tidak harus dikompromi kerana jika tidak dipantau dan dijaga dengan baik, maruah negara bukan sahaja diinjak-injak, malah bakal kehilangan haknya," kata beliau ketika membahaskan Belanjawan Johor 2023 pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.  

Beliau berkata demikian semasa mengulas insiden pertengkaran mulut antara kumpulan nelayan tempatan dengan pihak berkuasa negara jiran itu, Oktober lepas.

"Insiden tersebut bukan sahaja tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku, malah mencerminkan imej dan maruah rakyat kita dihina," katanya. 

Wakil rakyat Barisan Nasional itu berkata sikap berdiam diri boleh dianggap sebagai 'tidak peduli' dan boleh memberi implikasi besar dan buruk pada masa akan datang. 

"Saya membangkitkan perkara ini bukan bertujuan ingin menimbulkan seteru dengan negara jiran, tetapi dengan niat untuk mempertahankan yang sememangnya menjadi hak milik kita. Malah, saya sendiri pernah menjadi nelayan dan tahu di kawasan tersebut adalah kawasan perairan kita," katanya.

Pada 24 Okt lepas, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat wakil sekumpulan nelayan tempatan susulan insiden pertengkaran mulut antara mereka dengan Coast Guard Singapura seperti yang tular di media sosial.

Media turut melaporkan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini.

Persidangan DUN Johor bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan