SUKAN

27 pemain bawa cabaran negara ke Piala Dunia Dodgeball di Mesir

07/12/2022 02:12 AM

KUALA LUMPUR, 6 Dec (Bernama) -- Skuad dodgeball kebangsaan terdiri daripada 27 pemain bakal beraksi di Piala Dunia Dodgeball Mesir 2022 di Stadium Cairo pada 13 hingga18 Dis ini. 

Malaysia Dodgeball Federation (MDF) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penglibatan skuad kebangsaan dalam kejohanan anjuran ketiga Persatuan Dodgeball Dunia (WDA) itu adalah sebagai  pendedahan kepada atlet kebangsaan sebelum menyertai temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA. 

“Ia juga untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pasukan dodgeball terbaik dunia selain memperkembangkan kemahiran atlet supaya dapat beraksi cemerlang di peringkat paling tinggi.

“Objektif lain adalah untuk memajukan dan mempromosikan sukan ini agar mendapat tarikan dan penyertaan secara menyeluruh di semua peringkat,” menurut MDF. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu Hannah Yeoh dalam ucapan pada  Majlis Penyerahan Jalur Gemilang ke Piala Dunia Dodgeball Mesir 2022 berharap pasukan dodgeball negara akan memperoleh kejuaraan di Piala Dunia sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Skuad negara turut disertai lapan jurulatih dan ahli fisioterapi bakal berlepas ke Mesir pada 11 Dis ini.

Selain Malaysia, tujuh negara turut mengambil bahagian ialah Jepun, Hong Kong, England, Mesir, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Bulgaria yang akan bersaing dalam lima kategori iaitu lelaki, perempuan, campuran, bawah 21 tahun (B21) lelaki dan perempuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan