AM

777 PPS dikenal pasti di Johor, boleh tempatkan 194,195 mangsa banjir

06/12/2022 01:32 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 777 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di seluruh Johor setakat September lepas sebagai usaha kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata jumlah berkenaan mampu untuk menempatkan sehingga 194,195 mangsa banjir di negeri ini mengikut data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengenal pasti sejumlah penyedia makanan kering dan basah untuk memastikan bekalan makanan buat mangsa terjamin.

"Seramai 75 pembekal barangan kering dan 70 pembekal makanan bermasak telah dikenal pasti di setiap daerah.

"Sementara itu, kadar catuan bekalan makanan di PPS yang diuruskan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah mengikut kuota ditetapkan iaitu RM25 seorang sehari bagi makanan masak berkawah atau berbungkus," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Khairin-Nisa berkata demikian ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) berhubung persediaan JKM negeri dalam menghadapi bencana banjir di Johor.

Selain PPS, persiapan kerajaan negeri turut termasuk penyelenggaraan logistik, penyediaan stok bekalan bencana di semua stor bencana daerah dan senarai petugas melibatkan warga kerja JKM dan sukarelawan kebajikan.

Setakat November lepas, seramai 457 petugas melibatkan pegawai dan kakitangan daripada Unit Bencana, Pegawai Psikologi, Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan sukarelawan kebajikan di 10 daerah, telah dikenal pasti.

Menurutnya, terdapat juga pertambahan jumlah warga kerja di Ibu Pejabat JKM negeri Johor dan tujuh institusi kebajikan di Johor seramai 413 orang yang akan bertugas di lapangan sekiranya ada keperluan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan