POLITIK

STAR hasrat keluar PN, pengumuman rasmi dibuat kemudian - Jeffrey Kitingan

05/12/2022 07:29 PM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini menyatakan hasrat untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) namun pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat kemudian, kata Presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata tindakan itu dibuat kerana melihat STAR, yang menyokong Kerajaan Perpaduan masa ini, sudah tidak sehaluan dengan PN.

 “Ya (keluar PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau (awak) pergi sini saya pergi sana bererti tidak sehaluanlah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 hari ini.

Pada 26 Nov lepas, Kitingan berkata STAR mengambil pendirian yang sama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu katanya PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.

GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional, terdiri daripada UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan