AM

TMIYC akan dibina di semua daerah di Johor dalam tempoh lima tahun

04/12/2022 07:36 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor menyasarkan untuk membina Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di setiap daerah di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata TMIYC pertama di Hutan Bandar di Johor Bahru telah beroperasi pada 2020, manakala yang kedua di Muar dengan majlis pecah tanah dilakukan pada tahun yang sama dan kini masih dalam pembinaan.

Beliau berkata TMIYC ketiga di Iskandar Puteri yang pembinaannya akan bermula pada suku kedua tahun depan, dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

“Kita buat yang termampu, sekarang ada tiga insya-Allah dua lagi TMIYC di Pasir Gudang dan Kluang pada tahun depan. Diharapkan dalam masa lima tahun kita akan dapat mewujudkannya di setiap daerah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah TMIYC Iskandar Puteri di Kompleks Sukan Educity yang disempurnakan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata pusat aktiviti anak muda itu yang merupakan inisiatif strategik dan cetusan idea Tunku Ismail, menyediakan ruang pembangunan yang kondusif untuk golongan belia dengan pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah.

Beliau berkata TMIYC di Iskandar Puteri akan didirikan di tanah berkeluasan 10.9 hektar dan mempunyai zon hab sosial dengan kemudahan ruang acara tertutup serta auditorium, selain taman seni untuk kegunaan penganjuran acara seni dan budaya.

“Ia juga mempunyai zon aktif yang mengandungi sebuah gim rakyat berkeluasan 6,800 kaki persegi yang boleh memuatkan 200 orang pada satu masa di dalam bangunan dan di atas bumbung…serta sebuah velodrome dan trek BMX yang kedua-duanya telah pun siap dibina di dalam zon ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berharap pembinaan pusat berkenaan memberi impak positif dan mengurangkan masalah sosial dalam kalangan belia.

“TMIYC di Hutan Bandar misalnya bukan sahaja berjaya menghimpunkan orang muda, tetapi turut membantu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sambil melakukan aktiviti beriadah sekali gus mereka tidak akan melepak di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

TMIYC di Hutan Bandar menempatkan pelbagai aktiviti untuk golongan belia dan orang ramai seperti Canopy Walk, Youth Centre, Mountain Bike Trails, Parkour Park, Kiddo Ground serta Skatepro.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan