AM

Armizan letak MA63 sebagai antara agenda utama

03/12/2022 05:42 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Datuk Armizan Mohd Ali beri komitmen akan meletakkan agenda berteraskan Perjanjian Malaysia (MA63), sebagai antara keutamaannya dalam menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) yang baharu.

Walaupun menganggap lantikan itu sebagai satu tanggungjawab yang menarik, beliau mengakui akan berhadapan tugas yang mencabar kerana buat pertama kali berada dalam Kabinet Persekutuan.

Ini menurutnya kerana portfolio yang diamanahkan kepadanya, berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama, dan ’dekat’ dengan inti pati perjuangannya dalam arena politik.

“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merupakan antara 27 Ahli Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. 

Beliau berkata pengalaman berkhidmat di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan berkerjasama dengan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) sebelum ini, memberi pendedahan serta pengalaman berguna bagi menggalas amanah diberikan.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Armizan, 46, merupakan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Sabah yang disandangnya sejak Disember 2020 sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15, dan memenangi kerusi Parlimen Papar mewakili Gabungan Rakyat Sabah dengan majoriti 12,224 dalam saingan enam penjuru di parlimen itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan