SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memperbanyakkan program pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi asnaf bagi mengurangkan jumlah penerima zakat daripada kategori asnaf dan kemiskinan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata analisis Jabatan Perangkaan menjangkakan bilangan keluarga asnaf di Selangor akan mencecah sebanyak 157,000 keluarga pada 2030.
“Melihat kepada jangkaan trend peningkatan asnaf itu, LZS telah memulakan pelbagai inisiatif baik dari segi kutipan mahupun agihan zakat, bagi memenuhi keperluan pada masa hadapan.
“Ini termasuklah melaksanakan program pembangunan asnaf fakir dan miskin bagi membantu mereka berdikari sehingga mampu menjadi penyumbang semula kepada kitaran kutipan zakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullai dan timbalannya Tan Sri Ambrin Buang.
Beliau berkata asnaf yang produktif akan melalui suatu proses untuk membangunkan keupayaan kendiri menerusi program pembangunan bersesuaian mengikut potensi dan kecenderungan masing-masing.
“Alhamdulilah ternyata program-program yang dianjurkan ini memberi kesan positif kepada keluarga asnaf,” katanya.
Katanya, LZS menyasarkan sebanyak 4,000 keluarga asnaf akan dikeluarkan daripada golongan itu tahun hadapan.
“Kita juga akan meningkatkan usaha untuk mengenal pasti pelajar yang keciciran Sijil Pelajaran Malaysia disebabkan oleh pelbagai faktor melalui program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan program latihan kemahiran kerjaya.
“LZS juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu pelajar dengan peningkatan literasi dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.
Terdahulu, LZS menyampaikan penghargaan dan pengiktirafan kepada 65 asnaf zakat yang cemerlang dalam akademik dan perniagaan.
Dalam majlis sama, badan itu turut memberi pengiktirafan kepada lapan syarikat korporat dan agensi yang sentiasa membantu dalam usaha membangunkan golongan asnaf di Selangor iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Yayasan Johawaki, Centre For Entrepreneur Development And Research (CEDAR), Etiqa Takaful Family Berhad, Worldwide Holding Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial