KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) memeterai kerjasama bancatakaful untuk tempoh lima tahun dengan MBSB Bank Bhd dan menyasarkan untuk mencapai sumbangan takaful sebanyak RM500 juta.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam Taib berkata kerjasama itu akan meliputi pelbagai penawaran produk keluarga dan am.
“Pada masa sama, inisiatif ini juga akan meningkatkan pendapatan berasaskan fi bank.
“MBSB Bank dan Takaful Ikhlas akan mengkaji peluang lain seperti kerjasama dan inisiatif CSR,” katanya.
Nor Azam berkata kerjasama ini akan membawa nilai yang lebih besar kepada pelanggan bank dalam usaha mengembangkan rangkaian produk takaful untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang perjalanan kewangan mereka.
“Kami yakin dengan keupayaan Takaful Ikhlas untuk produk dan perkhidmatan takaful serta platform digital mereka,” katanya.
Azam berkata bank gembira dengan kerjasama jangka panjang dengan Takaful Ikhlas, yang sejajar dengan matlamat dan strateginya untuk menjadi bank Islam terkemuka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata syarikat komited untuk membawa penyelesaian takaful terbaiknya kepada pelanggan runcit dan korporat MBSB Bank.
“Kami percaya kerjasama ini akan dapat memberi peluang kepada pelanggan bank untuk mendapat manfaat daripada perlindungan kewangan melalui penawaran kami.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan MBSB Bank untuk memperkasakan penyelesaian kewangan Islam yang progresif dan komprehensif secara eksklusif kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Rudy Rodzila berkata kerjasama itu akan membolehkan Takaful Ikhlas menyokong visi bank untuk menjadi antara bank Islam terkemuka di Malaysia dan pada masa sama, dapat menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang berguna dan mampu milik untuk memenuhi keperluan masyarakat.
MBSB Bank akan memperluas produk berkaitan kredit takaful keluarga Takaful Ikhlas seperti Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT), takaful jangka kredit berkelompok dan khidmat nasihat produk takaful serta produk takaful amnya seperti motor, pemilik rumah, takaful kebakaran, kemalangan diri dan banyak lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial