EKONOMI

GM Klang bantu usahawan PKS menerusi pelbagai kolaborasi

01/12/2022 07:29 PM

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang (GM Klang) menawarkan lebih banyak kolaborasi daripada kerajaan dan agensinya di setiap negeri serta luar negara untuk mempamerkan produk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam usaha pihaknya mempelbagaikan variasi barangan di pusat borong berkenaan.

Pengurus Komunikasi Jenama Pusat Borong GM Klang Norsuhaida Othman berkata inisiatif menempatkan produk buatan usahawan tersebut adalah rentetan dari kerjasama antara GM Klang bersama Jabatan Kemajuan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah yang termeterai pada 27 Mei lepas.

“Sehubungan itu, GM Klang sentiasa giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempelbagaikan tawaran produk khususnya barangan buatan tempatan yang bukan sahaja berpotensi diniagakan malah berperanan sebagai platform yang memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Norsuhaida berkata produk-produk usahawan PKS ini akan diletakkan di ruang yang telah dikhususkan bagi tujuan tersebut di GM Klang dan pada tahun ini beberapa pembukaan kedai menjual barangan tempatan dan produk asli dari Sabah dan Melaka telah dilaksanakan mereka.

“Antara produk popular yang ada di kedai menjual produk dari Sabah adalah jeruk tuhau, madu kelulut dan kuih cincin. Produk tradisional hasil kraftangan dari Sabah seperti gelang dan rantai juga telah memikat orang ramai terutamanya pelancong-pelancong luar. 

“Selain itu, produk dari Melaka seperti wajik, dodol dan gula melaka mendapat sambutan menggalakkan untuk dijadikan ‘door gift’ (buah tangan) untuk pelbagai majlis,” katanya.

Melalui inisiatif tersebut orang ramai khususnya peniaga kecil tidak perlu lagi merantau jauh untuk mendapatkan barangan berkenaan apabila aneka produk keluaran negeri boleh didapati dengan mudah di GM Klang, kata Norsuhaida.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan