KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) akan meningkatkan hubungan perdagangan antara koperasi di rantau Asia Pasifik menerusi pengukuhan kerjasama strategik pada 2023.
Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang juga naib presiden ICA-AP berkata kerjasama itu bertujuan meningkatkan penglibatan koperasi dalam perniagaan berimpak tinggi serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran serantau di 29 buah negara anggota ICA-AP.
"Kita mahu menggalakkan penglibatan koperasi menerusi aktiviti perdagangan antara koperasi di rantau ini yang mempunyai 1.5 juta koperasi berdaftar dengan jumlah keseluruhan ahli kira-kira 729 juta.
"Angkasa dan ICA-AP juga menyasarkan untuk mencapai anggaran 10 peratus nilai dagangan daripada jumlah bahagian pasaran bernilai kira-kira US$390 bilion (US$1-RM4.40) yang dijana di rantau Asia Pasifik setiap tahun," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP yang disertai wakil daripada 11 koperasi dari sembilan negara iaitu Malaysia, China, India, Iran, Korea, Filipina, Sri Lanka, Palestin dan Nepal.
Menurut Abdul Fattah, Angkasa selaku badan tertinggi gerakan koperasi di Malaysia akan memberi fokus terhadap empat aspek utama dalam menggalakkan aktiviti perdagangan antara koperasi Malaysia dengan koperasi negara serantau terutama dari Iran, India dan Korea.
"Malaysia mengambil langkah untuk mempromosikan empat produk di Asia Pasifik iaitu produk berasaskan halal, kewangan patuh syariah, model koperasi sekolah dan koperasi komuniti bagi negara Islam.
"Isu keselamatan makanan juga akan diberi perhatian terutamanya makanan halal di mana kita mahu pastikan koperasi di negara yang mempunyai lebihan pengeluaran mampu mengeksport produk ke negara lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial