AM

JPS ramal banjir di Terengganu dan Kelantan, Khamis dan Jumaat

30/11/2022 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan, esok dan hari berikutnya.

JPS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan banjir boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut yang kesemuanya di Terengganu dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan. 

Ramalan  itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Mateorologi  Malaysia dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Di Terengganu, beberapa kawasan berisiko banjir esok adalah daerah Setiu (Kampung Che Mohid, Sekolah Kebangsaan Kampong Besut dan kawasan sekitarnya) mulai jam 5 petang, manakala ( Kampung Permaisuri, Kampung Nyatoh dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 malam. 

“Jumaat ini, JPS meramalkan banjir akan berlaku di kawasan daerah Dungun (Kampung Wa dan kawasan sekitarnya) serta di daerah Kemaman  (Sungai Pinang dan kawasan sekitarnya) mulai jam 8 pagi,” menurut kenyataan itu. 

Pada tarikh sama, JPS turut meramalkan kawasan dijangka berlaku banjir di Kelantan adalah di daerah Pasir Mas (Kampung Lubok Stol dan kawasan sekitarnya) mulai jam 12 tengah hari manakala kawasan sekitar Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tok Deh, Kampung Lanchang, Kampung Siput mulai 9 pagi. 

Menurut kenyataan itu, JPS turut meramalkan kejadian berlaku banjir di Terengganu pada Jumaat ini  seperti di kawasan daerah Besut (Rumah Pam Pelagat dan kawasan sekitarnya) dan Daerah Paka (Kampung Luit dan kawasan sekitarnya) mulai jam 7 malam.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu. 

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan