EKONOMI

Sabah terima dividen lebih RM152 juta daripada GLC, badan berkanun

30/11/2022 05:44 PM

KOTA KINABALU, 30 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini menerima dividen lebih RM152 juta bagi tahun kewangan 2021 daripada 15 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lima badan berkanun.

Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi kenyataan berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima dividen tersebut di Bilik Danum, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Teluk Likas di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Sofian Nair.

GLC yang membayar dividen terdiri daripada Sawit Kinabalu Sdn Bhd sebanyak RM41.79 juta, Sabah Development Bhd (RM20 juta), Sabah Electricity Sdn Bhd (RM17.24 juta), Sabah Credit Corporation (RM17 juta), Qhazanah Sabah Bhd (RM15 juta), Kota Kinabalu Industrial Park (RM10 juta) dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (RM9 juta).

Turut berbuat demikian ialah Progressive Insurance Bhd (RM6.18 juta), FGV Holdings Bhd (RM 5.27 juta), Innoprise Corporation Sdn Bhd (RM2.6 juta), Desa Group Sdn Bhd (RM2 juta), Keningau Agro-Venture Sdn Bhd (RM1 juta), Petronas Dagangan Bhd (RM460,000), Suria Capital Holdings Bhd (RM230,400) dan Borneo Development Corporation Sdn Bhd (RM174,897.61).

Badan berkanun yang membayar dividen ialah Lembaga Industri Getah Sabah (RM1.31 juta), Koperasi Pembangunan Desa (RM1 juta), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (RM1 juta), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (RM681,365) dan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (RM70,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan