EKONOMI

Sime Darby Property tetapkan sasaran jualan lebih rendah pada tahun depan berikutan cabaran tenaga kerja, global

30/11/2022 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd menetapkan sasaran jualan yang lebih rendah pada tahun depan, lebih rendah daripada RM2.7 bilion yang dicapai dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2022, berikutan kekurangan tenaga kerja, kadar faedah yang meningkat di peringkat global dan kebimbangan mengenai rantaian bekalan yang menjadi cabaran utama kepada syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Azmir Merican berkata syarikat pemaju telah melepasi sasaran jualan awal sebanyak RM2.6 bilion pada tahun kewangan 2022, meningkat 43 peratus tahun ke tahun daripada jualan sebanyak RM1.9 bilion dicapai dalam tempoh sama pada tahun kewangan 2021.

“Saya menjangka jualan (pada tahun depan tidak akan) lebih kukuh daripada apa yang kami capai. Kami juga telah membawa ke hadapan beberapa pelancaran untuk tahun ini walaupun permintaan adalah baik,” katanya pada sesi soal jawab bersempena dengan Taklimat Media Sime Darby Property Secara Maya (Suku Ketiga Tahun Kewangan 2022) di sini hari ini.

Sime Darby Property telah melancarkan produk dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion dalam tempoh tersebut tetapi ia telah mengurangkan pelancarannya pada suku keempat tahun ini kepada jumlah GDV sebanyak RM500 juta.

“Isu utama ialah tenaga kerja dan pasukan pengurusan telah membincangkan sama ada lebih baik untuk menangguhkannya dan membenarkan pekerja masuk selain memantau kedudukan kontraktor kami.

“Oleh itu, kami menangguhkan beberapa pelancaran pada tahun ini dan mungkin lebih baik untuk kami apabila kami melancarkannya dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Azmir berkata segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang utama kepada kumpulan, menjadikan 92.0 peratus daripada jumlah hasil kumpulan dan segmen itu kekal berdaya tahan walaupun kadar faedah dan kos bahan meningkat serta situasi kekurangan tenaga kerja yang mencabar di seluruh negara.

“Sehingga 30 Sept, jualan kami yang belum dijelaskan sebanyak RM3.5 bilion manakala nisbah hutang bersih kekal rendah pada 0.28,” katanya.

Ditanya sama ada syarikat akan terus menangguhkan pelancaran berikutan ekonomi global menghadapi kelembapan, katanya syarikat akan mengkaji faktor dalaman dan luaran serta reaksi pasaran terhadap situasi tersebut.

“Sentiasa wujud peluang untuk meminda pelancaran. Kami adalah organisasi yang dinamik dan kami memberi jaminan bahawa kami memahami persekitaran luaran dan dalaman.

“Kami telah menetapkan sasaran jualan untuk tahun baharu, yang perlu dikaji semula dan dipersetujui di peringkat dalaman. Sehubungan itu, saya tidak dapat mendedahkan angka (sasaran jualan) untuk 2023.

“Kami mempunyai pelan dan pelan itu dinamik. Oleh itu, apabila keadaan berubah, kami akan memastikan untuk memberi respons yang sebaik mungkin,” katanya.

Sime Darby Property kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM56.13 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM5.19 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Ia mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM689.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 berbanding RM387.8 juta pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan