SUKAN

'Speedy Tigers' terpaksa bekerja keras atasi Kanada 3-2

29/11/2022 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa berhempas-pulas sebelum bangkit mengatasi Kanada 3-2 pada aksi Kumpulan B, Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan hari ini.

Kemenangan tipis itu sekali gus berjaya menghidupkan kembali harapan skuad ‘Speedy Tigers’ untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas tewas 1-0 kepada juara Piala Asia 2022, Korea Selatan pada aksi pertama semalam.

Kanada yang menduduki ranking ke-16 dunia terlebih dahulu mengejutkan Malaysia menerusi jaringan padang Sean Davis pada minit ke-19 di Stadium NWU Astro, Potchefstroom.

Pasukan di ranking ke-10 dunia Malaysia kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-33, tetapi Kanada sekali lagi menggegarkan gawang negara apabila Gordon Johnston melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Namun, serangan bertali arus ‘Speedy Tigers’ membuahkan hasil apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak dua jaringan padang masing-masing pada minit ke-50 dan 57, sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Ketua jurulatih A. Arulselvaraj menganggap keputusan itu sebagai kemenangan yang besar dengan sikap positif dan tidak mudah mengalah anak buahnya untuk terus berjuang sehingga minit-minit terakhir.

“Walaupun dua kali ketinggalan, iaitu 1-0 dan 2-1, pemain tetap berjuang sehingga mencapai kemenangan. Namun, sedikit kecewa apabila tidak dapat mengawal pergerakan pemain lawan dan tidak dapat bertindak pantas, itu kena betulkan,” katanya menerusi video yang dikongsikan.

Bakal bertemu Jepun pada Khamis ini pada aksi hidup mati dalam memburu slot separuh akhir sebagai dua pasukan terbaik kumpulan, Arulselvaraj berkata beliau agak risau dalam membariskan skuad terbaiknya apabila beberapa pemain dilihat mengalami kecederaan.

Beliau berkata walaupun skuad kendaliannya berjaya menewaskan Jepun pada tiga pertemuan terakhir, hanya prestasi yang dipamerkan pada perlawanan seterusnya yang mampu membawa skuad itu ke separuh akhir, selepas berjaya menjuarai Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

“Kadang-kadang statistik ini cuma nombor sahaja, aksi esok penting walaupun kita keluar dengan semangat dan keyakinan yang tinggi. Kalau lihat daripada kecederaan, perlu ubah posisi pemain untuk memuatkan 11 pemain di atas padang, itu adalah kerisauan saya,” katanya.

Korea Selatan yang menewaskan Jepun 3-1 hari ini berada di kedudukan teratas dengan enam mata, diikuti Jepun dan Malaysia yang masing-masing meraih tiga mata dan Kanada di tempat tercorot.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan