DUNIA

Sektor swasta Thailand dan AS akan tingkatkan kerjasama dalam teknologi dan inovasi

29/11/2022 10:52 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 29 Nov (Bernama) -- Sektor swasta Thailand dan Amerika Syarikat (AS) akan terus bekerjasama dalam teknologi dan inovasi bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, seimbang dan inklusif.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri dan Pemangku Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menekankan kesediaan Thailand untuk meneroka peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan baharu dengan sektor swasta AS.

“Menerusi model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG), sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akan dapat memanfaatkan teknologi dan inovasi dan memacu negara untuk menjadi hab pelaburan serantau dalam teknologi dan inovasi, BCG, bakat global, logistik untuk ketersambungan serantau serta industri kreatif,” kata Anucha.

Terdahulu, Prayuth menerima kunjungan hormat ahli Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) yang diketuai oleh Presidennya Ted Osius di Rumah Kerajaan hari ini.

Wakil USABC daripada 43 firma terkemuka dalam enam industri termasuk tenaga, makanan dan pertanian, kesihatan awam, IT, pengurusan kewangan itu berkongsi pendapat dan ikrar mereka untuk meneruskan pelaburan di Thailand. Turut hadir ialah Duta Besar AS ke Thailand Robert Godec.

Pada mesyuarat itu, Prayuth juga mencadangkan tiga hala tuju untuk pembangunan ekonomi Thailand dalam normal seterusnya termasuk menggalakkan ekonomi seimbang, ekonomi berdaya saing dan ekonomi berasaskan nilai.

Beliau berkata Kerajaan Thailand telah memajukan peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi hijau, dan mahukan sokongan sektor swasta dalam memartabatkan negara itu sebagai pengeluar EV di rantau ini, meningkatkan pengetahuan, kepakaran dan teknologi bagi mengurangkan pelepasan GHG selain meningkatkan kapasiti penggunaan tenaga, terutama teknologi Penangkapan Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS).

Prayuth berkata kerajaan Thailand akan mempromosi ekonomi berdaya saing dengan Thailand bersedia untuk mencari peluang perdagangan baharu dan meningkatkan daya saing negara bagi mengukuhkan rantaian bekalannya.

"Kerajaan berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk operasi perniagaan selaras dengan cadangan "Sepuluh untuk Thailand" untuk mempromosi negara itu sebagai hab perniagaan, perdagangan dan pelaburan serantau," katanya.

Prayuth berharap hubungan dinamik serta kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Thailand dan AS akan terus berkembang apabila kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-190 hubungan diplomatik pada 2023.

Wakil USABC adalah kumpulan terbesar yang membuat lawatan tahunannya ke Thailand untuk menunjukkan komitmennya dalam mengembangkan kerjasama dengan negara itu, dengan organisasi itu meletakkan kepentingan yang besar dalam pelaburan di rantau ini, terutama Thailand.

Mereka juga komited untuk menyokong model ekonomi BCG Thailand melalui penggunaan tenaga dan produk yang bertanggungjawab dan mesra alam.

Wakil USABC berpandangan bahawa Thailand berpotensi untuk menjadi hab auto dan hab perubatan, serta hab pelaburan dalam bidang ekonomi digital, pelancongan dan industri kreatif. Mereka bersedia untuk memberi sokongan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran pekerja bagi menampung pengembangan pelaburan masa hadapan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan