JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 200 aduan terhadap penilai insurans kemuka tuntuan palsu

29/11/2022 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Lebih 200 aduan diterima sejak beberapa tahun lalu terhadap penilai insurans atau 'adjuster', yang terlibat dalam tuntutan insurans terutamanya melibatkan kemalangan yang dipercayai mengemukakan tuntutan palsu atau 'overclaim' melebihi harga sebenar.

Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) Yusuf Azmi berkata ini menyebabkan ramai mangsa berasa tertipu dan teraniaya, dengan hasil  tuntutan yang diberikan oleh penilai.

Beliau berkata walaupun bukan semua 'adjuster' bertindak sedemikian, tetapi ada yang membuat pengiraan tidak telus terhadap kenderaan yang terlibat kemalangan jalan raya, sehingga menyebabkan tuntutan yang dibuat melebihi daripada sepatutnya.

“Melalui cara menaikkan tuntutan dengan melakukan penipuan atau tuntutan palsu, pembayaran balik kerugian menjadi berlipat kali ganda yang perlu dibayar syarikat insurans. Contohnya, harga tuntutan sebenar bagi kos membaiki sesebuah kenderaan selepas kemalangan adalah RM5,000, namun tuntutan dibuat penilai insurans adalah RM10,000, ini adalah tidak wajar.

“Pengguna juga tidak dimaklumkan atau tidak diberikan laporan penuh daripada pihak insurans bagi melihat butiran lanjut dan ia merupakan satu penganiayaan kepada mangsa kemalangan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bersama DFZ Agency Sdn Bhd, di sini hari ini.

MoC berkenaan bertujuan mengetengahkan DFZ Agency Sdn Bhd bagi membantu pengguna dan memberikan perkhidmatan penilaian insurans kepada mereka yang dianiaya, akibat dimanipulasi penilai insurans.

Yusof berkata syarikat itu boleh berunding dengan penilai sedia ada bagi memastikan ketelusan tuntutan insurans kenderaan yang terbabit kemalangan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan